If want to read in English:
- PreJourney;
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2 Part 1;
- Day 2 Part 2;
- Day 3;
- Day 4;
- Day 5 (this part); or
- Day 6 & 7.
Pagi ini, kami bangun dan keluar, namun cuaca agak mendung. Kami kembali ke pasar Mu Pai Tou yang semalamnya telah kami singgahi. Kali ini kami ingin melihat pasar ini pada waktu siang pula. Di waktu pagi, pasar ini lebih hidup dan lebih jelas. Barulah nampak kegiatan sebenar warga tempatan. Perlu berhati-hati, kerana di sini bukan negara Islam, maka daging babi memang dijual secara terbuka. Kami ada membeli beberapa barang untu dijadikan bekalan makanan.
Kemudian kami ke lorong bersebelahan, iaitu Gao Di Jie, di mana di sini, sepanjang lorong menjual pakaian sahaja. Kebanyakan kedai di sini masih belum buka, kerana awal lagi, namun ada juga yang baru hendak buka. Rata-rata banyak kedai menjual pakaian dalam sebenarnya, tidak kira lelaki, wanita atau kanak-kanak. Banyak jenis dan rupa. Walaupun begitu, jenis-jenis pakaian lain pun ada. Kami lalu sehingga ke hujung jalan dan ada membeli sedikit.
Kemudian kami ke lorong bersebelahan, iaitu Gao Di Jie, di mana di sini, sepanjang lorong menjual pakaian sahaja. Kebanyakan kedai di sini masih belum buka, kerana awal lagi, namun ada juga yang baru hendak buka. Rata-rata banyak kedai menjual pakaian dalam sebenarnya, tidak kira lelaki, wanita atau kanak-kanak. Banyak jenis dan rupa. Walaupun begitu, jenis-jenis pakaian lain pun ada. Kami lalu sehingga ke hujung jalan dan ada membeli sedikit.
Peta: Kedudukan pasar pakaian Gao Di Jie.
Kami ingin pulang ke hotel penginginapan kerana kami telah berjanji dengan abang Zainudin yang kami akan berjumpa di lobi hotel pada pukul 10:00 pagi. Dalam perjalanan, tidak jauh dari bulatan Haizhu Square (belakang Hotel Guangzhou), kami terjumpa sebuah restoran makanan halal, yang menyajikan mee sup daging. Kami hendak makan, tapi oleh kerana hendak hampir pukul 10:00 pagi, maka kami tidak meneruskan hasrat tersebut. Kami segera pulang ke hotel.
Kedai mee daging halal di Haizhu Square.
Haizhu Square.
Sampai di hotel, abang Zainudin dan isteri sudah menunggu walaupun baru pukul 9:50 pagi. Kami pun berjalan menyusuri Jalan Yide dari hotel ke kompleks membeli-belah Onelink Plaza. Tidak jauh mana pun, kurang 1 kilometer sahaja. Dalam perjalanan, banyak kedai-kedai di sepanjang Jalan Yide ini menjual barangan persiapan sempena Hari Krismas.
Kedai menjual persiapan Krismas di sepanjang Jalan Yide.
Peta: Perjalanan berjalan kaki dari Taisheng Hotel ke Onelink Plaza.
Kami pun sampai di Onelink Plaza ini. Saya mengatakan kepada abang Zainudin, mereka boleh berada di sini sehari suntuk, dan mengikut masing-masing, tidak perlu terikat. Jadi kami pun berpisah mengikut haluan masing-masing pada hari tersebut. Cuma saya maklumkan bahawa kami akan bersama ketika hendak balik pada keesokan harinya iaitu berjumpa di lobi hotel pada jam 11:00 pagi.
Onelink Plaza.
Di Guangzhou ini, setiap kompleks membeli-belah mempunyai tema masing-masing. Seperti di hotel kami duduk, temanya adalah barangan perhiasan diri tiruan, di Onelink Plaza ini pula, temanya adalah alat permainan dan hadiah. Namun terdapat juga barang-barang laon dijual, seperti pakaian, alat telekomunikasi dan sebagainya, tetapi tidak sebanyak tema utamanyalah. Jika hendak membeli barangan cenderahati untuk kenang-kenangan, di sinilah tempatnya terutama di aras bawah.
Kedai cenderahati Onelink Plaza.
Antara cenderahati yang boeh didapati di sini seperti magnet peti ais, rantai kunci, kemeja T, penyepit (chopsticks) dan banyak lagi. Bukan cenderahati bertemakan Guangzhou dan China sahaja, malah tema Hong Kong, Macau dan Shenzhen boleh didapati di sini. Harganya pun agak murah, lebih murah dari yang boleh diperolehi di Hong Kong dan Macau. Hendak buat macam mana, sudah beli di sana. Contohnya, satu set magnet peti ais (6 keping) hanya berharga RMB10 (+- RM7.00) sahaja. Kemeja T juga sehelai dijual RMB10 juga, malah jika beli banyak, ia boleh dapat kurang. Kami membeli beberapa cenderahati di sini buat kenang-kenangan.
Suasana di dalam Onelink Plaza.
Onelink Plaza ini mempunyai 11 tingkat sebenarnya, iaitu 7 tingkat di atas aras tanah dan 4 tingkat di bawah tanah. Memang rambang mata juga, penat pun ada (biasalah orang lelakikan). Kami berada di sini dalam sejam.
Peta laluan Metro Guangzhou.
Peta: Perjalanan Metro Guangzhou dari stesen Haizhu Square ke stesen Yuexiu Park.
Selepas itu, kami berjalan ke stesen Metro Guangzhou Haizhu Square untuk ke stesen Yuexiu Park, kerana kami ingin menziarahi sebuah masjid yang berhampirannya terdapat makam seorang sahabat Nabi Muhammad SAW, iaitu Masjid Abi Waqqas mengambil nama sempena Saad bin Abi Waqqas, sahabat tersebut yang telah sampai ke sini untuk menyiarkan syiar Islam. Di sini ia dieja dengan Aibu Wangesu.
Pintu B2, stesen Metro Guangzhou Yuexiu Park.
Kami keluar melalui pintu B2 di stesen Metro Guangzhou Yuexiu Park ini. Pada masa ini, hujan agak dalam gerimis. Sejurus keluar daripada pintu ini, berbaris peminta sedekah-peminta sedekah berada di situ. Kami teruskan perjalanan sehingga berjumpa dengan papan tanda Taman Orkid Canton.
Papan tanda Taman Orkid Canton.
Tanda jalan Jalan Lanpu.
Kami melalui Lanpu Lu (Jalan Lanpu / Lanpu Road), yang terletaknya taman ini. Tidak jauh dari simpang, berulah kami berjumpa dengan pintu masuk ke taman ini. Kami tidak masuk kerana itu bukan tujuan kami, lagipun taman orkid ini dikenakan bayaran untuk masuk ke dalamnya.
Pintu masuk Taman Orkid Canton.
Papan makluman Masjid Saad bin Abi Waqqas.
Bazar Jumaat di Jalan Lanpu.
Kami meneruskan perjalanan dengan memasuki lagi ke Jalan Lanpu. Terdapat banyak gerai-gerai sementara sedang didirikan di mana gerai ini merupakan sebahagian daripada bazar Jumaat. Di China, boleh dikatakan di setiap masjid utama di bandar-bandar besar utama, terdapat bazar di buat di setiap hari Jumaat. Semasa kami melaluinya, banyak yang masih dalam persediaan. Kami pun meneruskan ke masjid yang berada di hujung jalan.
Pintu masuk ke Masjid Saad bin Abi Waqqas dari Jalan Lanpu.
Batu tanda Masjid Saad bin Abi Waqqas.
Sampai di hujung jalan adalah pintu masuk ke Masjid Saad bin Abi Waqqas ini. Kami memasukinya dan berjalan melalui jalan yang disediakan.
Jalan menuju ke Masjid Saad bin Abi Waqqas.
Tanda maklumat tentang Masjid Saad bin Abi Waqqas.
Tanda peringatan yang amat menarik hati.
Peta kompleks Masjid Saad bin Abi Waqqas.
Pintu gerbang makam Saad bin Abi Waqqas.
Kami menziarahi makam Saad bin Abi Waqqas ini kerana ia terletak di hujung belakang jalan ini. Lagipun bersebelahan dengan makam ini merupakan ruang solat untuk wanita.
Masjid Saad bin Abi Waqqas.
Selepas itu, saya pun menuju ke bangunan utama Masjid Saad bin Abi Waqqas ini, iaitu ia merupakan ruang solat untuk lelaki. Ketika ini, hujan mulai rintik-rintik. Bangunan ini jika dilihat, tidak seperti masjid, kerana seni binanya lebih berupa seni bina Cina. Cuma terdapat tanda bulan sabit di bumbungnya.
Ruang wuduk lelaki di Masjid Saad bin Abi Waqqas.
Ruang solat aras bawah Masjid Saad bin Abi Waqqas.
Antara seni khat Cina Muslim di dinding Masjid Saad bin Abi Waqqas.
Pintu depan Masjid Saad bin Abi Waqqas, Guangzhou.
Ruang solat utama di Masjid Saad bin Abi Waqqas.
Selepas mengambil wuduk di tempat mengambil wuduk, saya sempat bersolat sunat di ruang utama masjid ini. Di bangunan ruang solat utama, terdapat dua tingkat, saya bersolat di tingkat atas. Semasa saya hadir di masjid ini, terdapat ramai orang yang hadir di sini. Pihak pengurusan masjid juga sedang membuat persiapan untuk solat Jumaat.
Pandangan keluar dari dalam Masjid Saad bin Abi Waqqas.
Petunjuk waktu solat di dalam Masjid Saad bin Abi Waqqas.
Kami menunggu hampir dua jam di masjid (dengan beriktikaf) untuk menunaikan solat Jumaat, kerana walaupun waktu zohor masuk pada pukul 12:15 tengahari, tetapi azan hanya berkemundang pada pukul 1:25 tengahari dan solat pula pada pukul 2:15 petang.
Ayam panggang di Bazar Jumaat di Jalan Lanpu.
Nasi daging di Bazar Jumaat di Jalan Lanpu.
Usai solat, kami pun keluar semula ke Jalan Lanpu. Kelihatan bazar tadi seperti pesta. Banyak makanan halal dijual. Memang menarik perhatian, lagipun kami agak lapar juga. Namun kami sedar yang kami hanya tinggal RMB40 (+- RM28) sahaja pada ketika itu. Jadi terpaksa menahan kemahuan, kami keluar untuk menukar wang, kerana pada masa sama, saya membawa wang RM200 bersama.
Kebab daging sedang dibakar di Bazar Jumaat di Jalan Lanpu.
Lalu kami ke bank yang terdekat iaitu ICBC Bank, Bank of China dan Bank of Construction China. Namun malangnya, bank-bank tersebut tidak menerima Ringgit Malaysia untuk ditukarkan. Pada masa yang sama, saya dimaklumkan, terdapat pengurup wang di Hotel China yang terletak di seberang jalan dan juga di Stesen Keretapi Shanghai, yang terletak satu stesen dari stesen Metro Guangzhou Yuexiu Park.
Mesin tukaran wang asing automatik di dalam
Hotel China (ahli kumpulan hotel-hotel Marriot).
Pada masa itu, hujan agak lebat juga, namun kami redah juga, demi hendak makan di bazar Jumaat di Masjid Saad bin Abi Waqqas. Apabila sampai di dalam lobi Hotel China (hotel lebih 5 bintang), rupanya pengurup wang tersebut merupakan dua mesin wang asing automatik. Malangnya mesin itu hanya menerima matawang utama dunia seperti Dollar Amerika Syarikat, Euro, Yen Jepun dan sebagainya. Ringgit Malaysia tidak termasuk. Maka terpaksa kami ke Stesen Keretapi Guangzhou pula.
Peta: Perjalanan Metro Guangzhou dari stesen Yuexiu Park ke stesen keretapi Guangzhou.
Kami ke Stesen keretapi Guangzhou dengan menaiki tren Metro Guangzhou. Sampai kami di stesen itu, hujan masih belum reda. Kami mencari juga namun tidak jumpa juga. Lebih sejam juga kami di stesen tersebut. Akhirnya kami pulang ke hotel penginapan dengan perasan hampa.
Mungkin bukan rezeki kami kerana tidak dapat makan makanan di bazar Jumaat Masjid Saad bin Abi Waqqas. Kami sampai di hotel dalam keadaan basah kuyup, dan makan bekalan makanan yang ada sahaja. Pengajaran buat kami, agar pada masa akan datang, apabila datang ke China, kena tukar wang siap-siap, kerana di jalanan di bandar-bandar di China, pengurup wang agak sukar dicari, jika ada pun banyak yang tidak menerima wang Ringgit Malaysia.
Pada waktu malamnya, kami ke pasar Mu Pai Tou untuk membeli barang-barang untuk makan malam. Setelah itu kami pun berehat secukupnya kerana kami hendak pulang ke Malaysia pada keesokan harinya melalui Macau.
Jika mahu lihat catatan:
If want to read in English:
- PreJourney;
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2 Part 1;
- Day 2 Part 2;
- Day 3;
- Day 4;
- Day 5 (this part); or
- Day 6 & 7.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan