Rabu, 23 Disember 2015

Pra Kembara & Hari 1 (Batam, Kepulauan Riau, Indonesia - 04 hingga 07 Disember 2015) - Lawatan Ke Batam Untuk Kali Ketiga.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Itinerary;
  • PreJourney & Day 1 (this part);  or
  • Day 2 - Day 4



Permandangan Batam Centre dari laut.

Pengenalan.

Pada 20 November 2015 lepas, saya dan sekeluarga (termasuk ibu saya), menziarahi sahabat ibu saya yang tinggal di Taiping, yang saya panggil sebagai Auntie Chor. Maklumlah sudah cuti sekolah, ambil kesempatan untuk bawa anak-anak jalan-jalan.

Kebetulan, Auntie Chor mengajak ibu saya dan juga saya untuk ke Batam, kerana terdapat sebuah badan bukan kerajaan akan membuat kunjungan hormat terhadap pemerintah kota Batam dan akan juga membuat aktiviti di sana sepanjang di sana. Pada awalnya saya agak keberatan, kerana sudah banyak kali saya ke sana, lagipun bagi saya Batam tiada apa pun, namun memandangkan kami merupakan tetamu pemerintah kota Batam sepanjang di sana, harus akan melawat tempat yang tidak dikunjungi kami di sana. Tambahan pun, ibu saya berjanji untuk menaja saya bagi lawatan ini, terutama bayaran RM380 seorang termasuk tambang feri kepada pihak penanjur iaitu Gabungan Penulis Nasional (GAPENA).

Setelah berfikir, tidak mengapalah, saya pun mengambil keputusan untuk turut sama, manalah tahu terdapat hasil yang positif hasil kunjungan ke sana.


Pra Kembara.


Pada 27 November 2015, saya ingin mencuba aplikasi CatchThatBus, yang telah membuat promosi semasa program Backpackers' Day 2015 pada 30 Oktober 2015 yang lepas, bagi penempahan bas. Agak memudahkan penggunaannya dan bayaran pun agak senang juga, boleh guna kad kredit/debit atau pindahan lansung dari akaun bank. Lebih menarik, kita boleh mendapat harga untuk warga emas atau kanak-kanak melalui penempahan di aplikasi ini, tidak seperti aplikasi lain atau menempah secara dalam talian terus di laman web Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang selalu saya gunakan. Malah terdapat diskaun pertama kali guna sebanyak 10%, namun saya terlupa kodnya, jadi tidak dapatlah.


Setelah menempah tiket melalui aplikasi CatchThatBus ini, e-mel akan dihantar sebagai rujukan untuk menukar kepada tiket sebenar di kaunter tiket di TBS nanti. Perlu dingat, tidak semua penyedia bas ekspres ada di dalam aplikasi ini, tapi agak banyak juga berbanding aplikasi atau laman tempahan dalam talian lain. Selain melalui emel, rujukan penempahan juga disimpan di dalam aplikasinya juga. Saya menempah menggunakan perkhidmatan bas Transnasional bagi perjalanan pada 04 Disember 2015 pukul 8:30 pagi.



Emel rujukan tempahan CatchThatBus.

Pada 30 November 2015, saya dan keluarga ke Bukit Jalil untuk mengunjungi program Jom Heboh! setelah mencuba perkhidmatan bas percuma Bas Selangorku Klang sebelumnya. Setelah selesai, saya singgah ke TBS untuk menukarkan tempahan melalui aplikasi CatchThatBus tadi kepada tiket sebenar seperti di bawah. 

Tiket bas TBS.

Hari 1 - 04 Disember 2015 (Jumaat).

Saya dan ibu saya dihantar oleh isteri saya ke TBS seawal pukul 7:00 pagi dan sampai di TBS setengah jam kemudian. Kami ke kedai serbaneka untuk membeli roti dan lain-lain kerana kami belum bersarapan.



Resit tukaran wang di Sumber Jalur Sdn Bhd.

Saya membawa ibu saya ke tingkat atas untuk menukar wang kepada Rupiah Indonesia (Rp). Kadar pada ketika itu adalah Rp1juta = RM320. Agak mahal sedikit berbanding di Masjid India. Saya tidak menukarnya kerana saya akan menggunakan mesin ATM CIMB Niaga untuk mendapatkan wang Rupiah. Bagi saya pengurup wang di TBS ini agak baik juga kadarnya, jadi jika saat akhir sebelum ke destinasi (Thailand (Hat Yai), Singapura, Indonesia (Kepulauan Riau termasuk Batam) atau ke KLIA/klia2), bolehlah tukar di sini.


Kad perniagaan Sumber Jalur Sdn Bhd.

Pada pukul 8:00 pagi, kami turun ke platform untuk menunggu bas. Sementara itu sempat juga saya untuk mengecaj telefon dan power bank saya, kerana terdapat soket elektrik di ruang menunggu bas di situ. Tidak seperti tempat pengangkutan awam lain, di TBS, kita boleh sahaja untuk mengecaj peralatan elektronik kita.

Apabila tiba waktu untuk bas kami tiba, kami dimaklumkan bahawa bas kami mengalami sedikit kelewatan. Tidak mengapalah. Akhirnya bas kami tiba tetapi bukan seperti bas yang dijanjikan. Sepatutnya kami mendapat bas jenis yang mempunyai tempat duduk 2+1 tapi telah mendapat tempat duduk 2+2 di depan dan 1+1+1 di belakang. Malah bas kami bukannya bas Transnasional tetapi bas Plusliner, yang juga sebahagian daripada kumpulan bas Konsortium Transnasional Berhad (KTB). Ada juga penumpang yang mengadu, tetapi bagi saya, terima sahaja, asalkan sampai. Bas ini berlepas dari TBS pada pukul 9:00 pagi.

Peta perjalanan TBS ke Larkin, Johor Bahru.

Di dalam perjalanan, bas ini berhenti di Petronas Kawasan Rehat & Rawat Seremban arah selatan (untuk mengisi minyak) dan sebuah restoran di Yong Peng (keluar daripada sistem lebuhraya PLUS, iaitu tidak jauh dari persimpangan Yong Peng (Utara), untuk makan tengahari.

Akhirnya, kami sampai di Terminal Larkin Sentral di Johor Bahru pada pukul 1:45 tengahari, bagi saya agak cepat juga dengan dua kali berhenti.

Keluar dari bas, kami segera ke kawasan teksi untuk ke Terminal Penumpang Feri Antarabangsa Johor Bahru di Stulang Laut yang juga dikenali sebagai Berjaya Waterfront. Teksi di sini memberikan harga tetap untuk ke sana sebanyak RM25, termasuk caj masuk ke Berjaya Waterfront. Sebenarnya boleh guna meter tapi biasanya pemandu teksi akan berdalih. Saya berbincang dengan ibu saya, beliau setuju untuk harga RM25 itu.

Peta perjalanan dari Larkin Sentral ke Terminal Feri Antarabangsa Johor Bahru.

Perjalanan teksi mengambil masa cuma 15 minit sahaja, kami dibawa terus ke pintu masuk Terminal Feri. Di sana kami bertemu dengan Auntie Chor, suaminya (Uncle Usop) dan sahabat-sahabat mereka. Agak ramai juga rombongan ini, hampir 60 orang kesemuanya.

Ibu saya, Auntie Chor dan sahabat-sahabat mereka.

Ruang legar terminal feri ini agak moden dan sederhana besar juga. Ketika ini agak ramai juga di sini. Kami menunggu kehadiran semua ahli rombongan, lagipun feri kami adalah pada pukul 3:30 petang. Jadi saya ambil masa untuk menjelajah terminal ini. Paling penting perlu tunaikan solat dahulu, terdapat surau juga di kawasan ruang legar ini.

Pintu pelepasan dan kaunter tiket di ruang legar Terminal Feri Antarabangsa Johor Bahru.

Ruang legar ini sebenarnya menggabungkan kaunter tiket, pintu pelepasan dan pintu ketibaan. Terdapat juga kedai bebas cukai The Zon di ruang legar ini. Tapi bagi saya, harganya agak mahal sikit.


Pintu ketibaan Terminal Feri Antarabangsa Johor Bahru.

Terdapat juga sebuah pengurup wang di sini. Kadar pertukaran bagi Rupiah pada masa itu adalah Rp1juta = RM310. Kira murah sikit dari di TBS.

Pengurup wang di Terminal Feri Antarabangsa Johor Bahru.

Sebenarnya jadual feri dari terminal feri ini ke beberapa terminal feri di Kepulauan Riau agak kerap juga, tidak seperti saya fikirkan sebelum ini. Jadi selepas ini, jika saya mahu ke Batam atau Bintan, bolehlah saya melalui terminal feri ini, kerana sebelum ini saya menggunakan pelabuhan HarbourFront di Singapura. Memandangkan nilai Ringgit jatuh, lebih baik saya menggunakan terminal ini sahaja. 

Feri dari terminal feri ini akan ke Batam Centre dan Harbour Bay di pulau Batam serta ke kota Tanjung Pinang di pulau Bintan (yang juga merupakan pusat pentadbiran bagi provinsi Kepulauan Riau (Kepri). Jadualnya ada di bawah ini:

Leaflet Jadual Feri.

Tiket feri Johor Bahru - Batam Centre.


Kami menyerahkan pasport kami kepada pihak urusetia untuk memproses tiket kami pada pukul 2:40 petang. Pada jam 3:20 petang, kami menerima kembali pasport kami beserta tiket feri ke Batam, pas pelepasan (maaf, tidak sempat untuk mengambil gambarnya atau mengimbasnya) dan voucer tiket pulang ke Stulang Laut.

Voucer tiket pulang.

Setelah menerima dokumen-dokumen terbabit, kami terus ke balai pelepasan, yang mana kami semua diberikan keutamaan untuk masuk, bagi ke prosedur imigresen dan kastam. Di sini, kami melihat gelagat warga Malaysia dan Indonesia menjalani prosedur berkenaan. Ramai warga Indonesia menggunakan kaunter khas untuk warga Malaysia, yang hanya satu, maklumlah, proses untuk pasport Malaysia sekejap sahaja. Jadi kami pun terpaksa menggunakan kaunter lain bagi mengelakan kesesakan. Menarik lagi, ada juga warga Indonesia yang selamba memotong barisan terus ke kaunter. Apa lagi, ramailah warga Malaysia yang memarahinya. Pegawai imigresen tersebut enggan memproses pasport warga Indonesia, dan mengarahkan dia untuk beratur. Macam-macam ragam.

Berjaya Watertfront, Johor Bahru.

Selesai sahaja, kami terus ke feri yang sedia menunggu kami. Rupanya masih ramai belum menaiki feri. Feri kami hanya berlepas meninggalkan jeti pada pukul 4:10 petang. Belayarlah kami di Selat Johor yang membelahi Johor, Malaysia dengan Singapura.

Feri kami ke Batam Centre.

Dalam perjalanan, seperti biasa, saya menaiki tingkat atas untuk menikmati permandangan. Dapat melihat dari selat kawasan tepi laut di Selat Johor ini. Dapatlah lihat Kampung Senibong, Pelabuhan Sembawang (Singapura) dan juga dengan jelas, bekas Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di Woodlands (gambar di bawah). Dipaksa untuk keluar oleh Kerajaan Singapura pada awal tahun 1990an (menariknya selepas itu boleh pula tentera Amerika Syarikat dan Britain mempunyai pangkalan di Singapura). Namun itu satu kenangan. Tidak diketahui apakah yang menggantikan bekas aset Malaysia itu, tapi nampak ia seperti terjaga.

Bekas Pangkalan TLDM Woodlands.

Perkampungan pesisir pantai.

Pelabuhan Pasir Gudang.

Pesisir pantai Pulau Ubin, Singapura.

Seterusnya kami melewati beberapa buah kampung di sebelah Johor, Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Langsat. Banyak juga rumah rakit yang terdapat sangkar-sangkar ikan dan kawasan penternakan kupang di sebelah Malaysia dan Singapura. Di sini juga saya dapat melihat, di sebelah Singapura, dipasang pagar sepanjang pesisir pantainya.

Suasana tingkat atas feri.

Rumah rakit sebelah Singapura.

Pelabuhan Tanjung Langsat.

Kini kami memasuki kawasan sempadan tiga buah negara. Memang jelas kerja-kerja penambakan pulau berlaku di kawasan Singapura. Nampaknya pulau-pulau kecil di kawasan Pulau Tekong disambungkan dan kini menjadi pulau lebih besar. Juga seperti lebuhraya udara, pesawat udara melintasi ruang udara setiap minit, menandakan kami begitu hampir dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

Pesawat terbang melintasi atas feri kami.

Kerja-kerja penambakan pulau di Singapura.

Kapal-kapal begitu banyak membelahi Selat Singapura. Kami terasa amat kerdil sekali, umpama seorang pejalan kaki sedang menyeberangi lebuhraya yang amat banyak kereta. 

Kapal-kapal sedang berlabuh menanti giliran memasuki Pelabuhan Singapura.

Isyarat telefon DiGi dan celcom masih jelas dan perkhidmatan data masih boleh digunakan sehingga hampir sampai ke Batam Centre. Untuk maxis dan U Mobile, saya tidak basti tapi saya percaya ia sama juga.

Batam Centre dari laut.

Pelabuhan Batam Centre.

Perjalanan dari Johor Bahru ke Batam Centre.

Akhirnya setelah sejam 45 minit berada di atas feri, sampailah kami ke Pelabuhan Antarabangsa Batam Centre. Kami pun turun dari feri dan terus ke balai ketibaan  untuk prosedur imigresen dan kastam Indonesia.

Cop pasport masuk Batam Centre, Indonesia (hijau)

Kain pemidang mengalukan kedatangan kami.

Setelah usai urusan pihak berkuasa, kami keluar dan disambut oleh wakil dari pihak pemerintah Kota Batam. Kami dibawa terus ke hotel kami, Greenland Hotel, Batam dengan menaiki coaster yang sederhana besar.

Kaunter Greenland Hotel, Batam.

Kad perniagaan Greenland Hotel, Batam.

Perjalanan dari Pelabuhan Batam Centre ke Greenland Hotel, Batam.

Sampai di hotel, kami disambut dengan kain pemidang, mengalu-alukan kehadiran kami, dan diberikan minuman selamat datang. Cuma makan malam belum disediakan. Saya menguruskan proses daftar masuk kami, dan alhamdulillah, kami mendapat bilik aras bawah. Saya sebilik dengan Uncle Usop. Kami pun membersihkan diri kami.


Kadar penginapan di Greenland Hotel, Batam.

Waroeng Makmur di hadapan Greenland Hotel, Batam.

Setelah kami selesai membersihkan diri, makan malam masih belum sedia, maka saya dan ibu saya ingin mencuba makanan di sini. Kebetulan di hadapan hotel kami terdapat sebuah warong makan yang bernama Waroeng Makmur. Kami pesan bubur ayam untuk ibu saya dan Nasi Goreng Cabai Hijau untuk saya. Harga pun agak berpatutan iaitu Rp30ribu (+- RM10) kesemuanya.

Resit Waroeng Makmur.

Setelah itu, apabila kami pulang ke hotel, barulah makan malam disediakan (kira-kira pukul 7:00 malam waktu Indonesia (UTC +7) iaitu pukul 8:00 malam waktu Malaysia (UTC +8). Hidangannya pun agak ringkas sahaja, nasi putih, hidangan berasakan telur, sosej goreng dan tempe sambal. Nasib baik kami sudah makan. 

Usai makan kami ke bilik untuk menantikan kami dibawa ke Majlis Perasmian Kenduri Seni Melayu 2015 di Pelataran (Dataran) Engku Puteri.

Jam 8:30 malam, kami dibawa ke Pelataran Engku Puteri.

Perjalanan dari Greenland Hotel, Batam ke Pelataran Engku Puteri.


Astaka di Pelataran Engku Puteri.


Sampai di Pelataran Engku Puteri, barulah saya nampak, bahawa memang macam ada pesta di sini. Terdapat seperti pasar malam di sini dan juga ruang pameran mengenai kota-kota dan kabupaten-kabupaten (daerah) tertentu di Indonesia yang menyertai pameran ini. Pameran ini dinamakan Pekan Raya Batam 2015. (Dalam bahasa Indonesia, pekan bermaksud pasar atau keramaian dan bukan bandar kecil seperti di Malaysia).

Bangunan Pemerintah Kota Batam.


Pekan Raya Batam 2015.






Pekan Raya Batam 2015.

Pekan Raya Batam 2015.


Memang kami ini sebenarnya merupakan tetamu terhormat bagi Walikota (Datuk Bandar) kota Batam ini. Terdapat pentas khas disediakan untuk semua kami untuk menyaksikan majlis pertunjukan dan perasmian Kenduri Seni Melayu 2015. 

Pertunjukan pentas sempena Kenduri Seni Melayu 2015.


Banyak juga peserta yang menyertai pertujukan yang dipersembahkan. Dari Kepulauan Riau, Riau, Sumatera Utara, Johor, Melaka malah selatan Thai juga. Pendek kata dari segenap Nusantara atau dunia Melayu lah katakan.


Pertunjukan pentas sempena Kenduri Seni Melayu 2015.


Persembahan makanan tempatan.


Selain itu terdapat juga persembahan makanan juga. Lebih kurang seperti makanan Melayu Malaysia juga seperti cucur badak, lopes, lemang dan lain-lain. Ada juga yang tidak dijumpai di Malaysia. Rata-rata bagi saya hidangan Melayu di Batam ini agak manis berbanding versi Melayu Malaysia.


Pertunjukan pentas sempena Kenduri Seni Melayu 2015 
(zapin Johor dari Yayasan Seni Johor).

Majlis diteruskan sehingga lewat malam. Cuma saya rasa amat mengantuk, lalu saya pulang awal dengan berjalan kaki ke hotel. Sampai hotel, saya terus tidur.


Akan bersambung ke Hari 2 - Hari 4.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Itinerary;
  • PreJourney & Day 1 (this part);  or
  • Day 2 - Day 4

Tiada ulasan:

Catat Ulasan