Khamis, 23 April 2015

Petua - Penempahan Tiket Keretapi India Secara Dalam Talian.

Click here if want to read in English version.

Sebagaimana yang diketahui, keretapi merupakan mod pengangkutan utama di India, di mana, jaringan landasan keretapi di India merupakan ketiga terpanjang di dunia yang berselerak di serata India. Boleh dikatakan hampir segenap tempat di India dihubungkan dengan jaringan keretapi. Malah, Indian Railway (sebuah perusahan negara India) merupakan majikan ketujuh terbesar di dunia dengan menggajikan lebih 1.5 juta orang kakitangan di bawahnya.

Tiket keretapi boleh dibeli secara biasa iaitu di kaunter tapi agak menyusahkan dan biasanya tiket habis kerana rakyat India memang biasa membeli awal tiket keretapi bukan bila musim perayaan, malah sepanjang tahun. Para pengunjung luar negara biasanya akan pergi ke kaunter International Tourist Bureau yang memang ada di beberapa stesen-stesen utama di bandar-bandar utama (sila klik link untuk maklumat lanjut). Harga pun lebih kurang dan di sini terdapat kuota untuk pelancong. Cuma kuota itu pun biasanya penuh. Satu lagi, untuk ke kaunter ini biasanya agak terpencil dan banyak scam  atau tout (ulat-ulat tiket) akan mengambil kesempatan, akibatnya, kita rugi agak banyak atau malang sekali, kena tipu (duit lesap, tiket pun tiada, silap-silap masuk lokap).

Satu alternatif adalah menempah secara dalam talian (online), cuma ia agak mahal sikit sahaja (kerana caj perkhidmatan oleh penyedia perkhidmatan), tapi sekurang-kurangnya dapat lari dari masalah besar (scam  dan tout yang akan pasti merugikan banyak kita) dan yang penting, tempahan sudah pasti (confirmed). Cuma masalah untuk menempah tiket keretapi secara online adalah jika menempahnya di laman web sebuah lagi perusahan negara India, Indian Railway Catering dan Tourism Corporation Limited (IRCTC), yang bertanggungjawab menjual tiket keretapi bagi pihak Indian Railway, hanya boleh membayar tiket dengan kad kredit atau debit yang dikeluarkan oleh bank-bank India sahaja. Hanya kad American Express tidak kira pengeluar (dalam Idan luar India) boleh digunakan. 


Satu lagi, perlu mempunyai nombor telefon India untuk mendaftar. Jadi untuk mengatasi masalah ini, laman web ClearTrip dan MakeMyTrip boleh digunakan kerana mereka merupakan ejen IRCTC dan menerima kad kredit dan debit dari luar negara. Namun masih perlu menggunakan nombor telefon India kerana untuk menempah perlu juga mendaftar dengan IRCTC. Jadi kebetulan terjumpa blog seorang pengembara Filipina iaitu The Viewing Deck yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. Cuma mengambil masa sikitlah. Saya mengikut langkah-langkahnya di blog ini, dan ia berjaya. Alhamdulillah.

Caranya adalah mula-mula perlu mendaftar dengan laman web berkenaan iaitu ClearTrip dan MakeMyTrip. Selepas itu, perlu ke seksyen penempahan keretapi India. Pilih hari dan masa yang diperlukan. Ingat (sehingga masa ini), penempahan awal tiket keretapi India adalah seawal 60 hari sahaja, tidak lebih awal dari itu. Kemudian, jika anda belum mendaftarkan login id dan kata laluan IRCTC, anda perlu mendaftar dahulu tetapi tidak perlu ke laman web IRCTC untuk membuatnya, laman web ClearTrip atau MakeMyTrip akan membantu anda, dengan mengisi maklumat yang akan ditanya. Cuma anda perlu mereka nombor telefon India, seperti saya memberi nombor 834949**** (* adalah nombor pilihan anda). Isikan nombor telefon India rekaan anda di ruangan nombor telefon.

Setelah selesai, satu emel akan dihantar yang menyatakan OTP (online transaction password) emel anda. Jangan klik link pendaftaran lagi kerana ID anda belum boleh aktifkan lagi. Cuma untuk mengaktifkan, anda perlu Mobile OTP  anda kerana sepatutnya OTP ini telah dihantar ke nombor anda pilih seperti 834949**** tadi. Jadi sebagai ganti, anda perlu hantar emel (dengan bahasa Inggeris atau Hindi (jika anda tahu)) ke care@irctc.co.in untuk meminta Mobile OTP dengan menyatakan login ID anda. Pastikan anda menghantar emel dengan emel yang didaftarkan dengan login ID anda sahaja. Lepas itu tunggu.

Mungkin ikut masa dari beberapa minit ke beberapa hari, pihak IRCTC akan menghantar Mobile OTP. Setelah dapat, anda boleh klik link pengaktifan pada emel OTP emel anda dan selesaikan proses pendaftaran. Maka secara rasmi, anda sudah ada akaun IRCTC yang sah.

Seterusnya, anda boleh ke laman web ClearTrip atau MakeMyTrip semula, dan anda perlu rangkaikan login id IRCTC dengan laman web tersebut. Sekali lagi anda akan perlu meminta OTP emel dan mobile OTP dari care@irctc.co.in untuk tujuan tersebut. Ulangi langkah berkenaan dan tunggu (seperti proses tadi). Selepas dapat emel bagi kedua-dua OTP, aktifkan menerusi link emel OTP sebelum ini dan akaun IRCTC dan ClearTrip atau MakeMyTrip telah dirangkaikan. Anda kini sudah boleh menempah perjalanan dengan keretapi India.


Pada tahun 2015 ini, penempahan tiket keretapi India hanya boleh dilakukan selepas 60 hari sebelum hari perjalanan. Sebelum dari itu, ia belum dibuka. Satu lagi, pastikan anda mendapatkan tiket yang pasti. Jika masuk dalam wishlist (senarai menunggu), jika yang menunggu itu banyak, baik anda tidak menempahnya. Kerana kemungkinan anda tidak dapat menaiki keretapi itu ada. Jadi anda boleh mengatur kembali jadual dan itinerari anda. Itu kelebihan menempah secara dalam talian kerana kita boleh melihat senarai menunggu. Jadi tidaklah masa kita membazir atas perkara yang merugikan.

Perlu diingat, di bandaraya besar di India seperti di Delhi dan Agra, terdapat banyak stesen keretapi. Jadi jangan terkeliru, dan perlu peka dengan stesen berlepas dan tiba. Juga semasa menempah perlu lihat jadual perjalanan untuk melihat stesen yang sebenar, kerana tidak semua stesen akan pergi ke destinasi yang kita hendak tuju. Contohnya jika hendak ke Agra dari Delhi, hanya boleh dari stesen New Delhi atau stesen Hajrat Nizamuddin sahaja. Sama juga dari Agra ke Delhi, hanya melalui stesen Agra Cantonment sahaja, bukan dari Agra Fort, Idgah atau Yamuna Bridge. 

Jadi diharapkan tulisan ini dapat membantu rakan-rakan yang ingin mengembara ke India. Semoga ia dapat membantu dan mengelakan kita dari sebarang musibah, kerana India ini memang terkenal dengan syurga para scammers  dan touts. Selamat mengembara dan menggunakan petua ini.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan