Ahad, 15 Februari 2015

Bahagian 2 (Pulau Pinang, Malaysia - 07 Februari 2015) - Meronda-ronda Sekitar KOMTAR.

Dari Bahagian 1.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • PreJourney
  • Itinerary; 
  • Part 1; or 
  • Part 2 (this part).
07 Februari 2015 (Sabtu) Bahagian 2.

Usai makan tengahari di Restoran Hameediyah, saya pun meneruskan perjalanan saya pasar Chowrasta yang terkenal itu. Tetapi saya tidak terus menggunakan Jalan Penang, tetapi mengikut jalan belakang iaitu melalui Jalan Kuala Kangsar, kerana terdapat pasar lambak di situ. Tetapi semasa saya melaluinya, kebanyakan kedai sudah mahu tutup, kerana baru saya sedar, jam saya sudah pun menunjukan pukul 12:15 tengahari.

Tapi tidak mengapalah, yang penting teruskan perjalanan dan melihat apa yang ada. Sambil itu sempat juga saya mengambil mercu tanda Pulau Pinang iaitu Menara KOMTAR yang pernah menjadi bangunan tertinggi di Malaysia mahupun Asia Tenggara.





Nampaknya tiada apa yang saya berkenan untuk membeli. Terus saya masuk sekejap di pasar Chowrasta ini.  Saya tidak lama pun, kerana saya keluar balik ke Jalan Chowrasta yang bersebelahan pasar ini kerana ternampak kedai-kedai jeruk kepunyaan orang Melayu di situ. Di dalam pasar banyak dimiliki oleh orang bukan Melayu. Ini kerana isteri saya memesan jeruk untuk persinggahan saya kali ini.



Terus saya ke kedai D'Jeruk Kita kerana papan tanda perniagaannya berwarna merah. Asalnya memang saya nak ke Jeruk Pak Ali sahaja, tapi Jeruk Pak Ali sudah popular dan ada dua kedai di sini, jadi saya ingin mencari kedai yang baru pula. Layanan pemilik perniagaan D'Jeruk Kita ini iaitu Hj Bakar, atau saya panggil Abang Burn memang mesra. Dia sebenarnya penunggang basikal dan telah membuat ekspedisi ke London dari Malaysia pada tahun 2014 baru lepas. 



Harga jeruknya pun berpatutan dan beliau mengatakan bahawa beliau tidak menggunakan cuka tiruan. Semuanya rasa asli buah bersama garam dan gula. Saya pun belilah beberapa kilogram jeruk untuk dibawa pulang. Selain itu, di sini juga terjual cenderahati untuk kenangan di Pulau Pinang, seperti magnet peti sejuk, rantai kunci dan sebagainya, yang harganya lebih murah dari harga di Lebuh Armenian tadi. Nasib baik tidak beli. Contohnya, magnet peti air dijual RM2.00 sahaja berbanding di Lebuh Armenian dijual 3 buah untuk RM10.00. Sempatlah saya bergambar dengan Abang Burn. Jadi sesiapa ke Pulau Pinang dan hendak beli jeruk bolehlah berkunjung ke D'Jeruk Kita dekat dengan pasar Chowrasta. Memang sedap dan berpatutan. Di bawah saya sertakan kad perniagaannya untuk rujukan.



Saya teruskan perjalanan dan sempat ambil beberapa gambar di pasar ini. Hidung saya terbau buah berangan yang sedang digoreng. Jadi saya belilah buah ini dengan 350 gram pada harga RM10 sahaja. Buahnya pun senang dikopek, mungkin kerana cara buah ini dimasak, menyebabkan ia lebih mudah dikopek berbanding jika dibeli ditempat lain. Pasar Chowrasta ini juga merupakan antara perhentian bas utama dan popular bagi RapidPenang dan Penang Hop In Hop Off.



Selepas pasar Chowrasta ini menuju ke KOMTAR, terdapat banyak kedai-kedai yang menjual pakaian terutama kemeja T. Di sini lebih murah, sehingga terdapat baju kemeja T berharga RM6.00 sehelai bagi saiz kanak-kanak dan RM7.00 bagi saiz dewasa. Lebih murah dari kawasan Lebuh Armenian tadi. Jadi saya belilah untuk anak-anak dan isteri di rumah.







Oleh kerana terik matahari tengahari memancar, maka saya teruskan perjalanan menujuk ke kawasan KOMTAR yang mempunyai banyak pusat membeli belah. Antaranya 1st Avenue & Prangin Mall. 1st Avenue merupakan pusat membeli belah yang baru, jadi saya ke sini dahulu. Memang baru dan menyegarkan. Saya berpusing-pusing di dalam gedung ini, malah sampai ke tingkat 8. Saya dapat merakamkan permandangan sekitar pusat bandar Georgetown, malah sehingga dapat melihat Seberang Prai, Jambatan Pertama Pulau Pinang dan Bukit Bendera. Saya ke pasaraya AEON BIG yang ada di sini untuk membeli barang dengan harga murah kerana kalau beli di lapangan terbang atau kedai serbaneka agak murah. Saya juga ke Prangin Mall yang berhubung dengan 1st Avenue di tingkat 1 kerana terdapat jejantas menghubungkan kedua-duanya.







Memandangkan waktu Zohor kian hampir, saya ke Masjid al Jamiul az Zakirin (Perangin) yang berada di seberang jalan dengan kawasan KOMTAR ini. Masjid ini kecil sahaja, tapi mempunyai kemudahan agak lengkap. Ramai juga yang berjemaah di sini.



Usai solat saya pun terus ke stesen bas KOMTAR untuk mengambil bas RapidPenang laluan 401 untuk kembali ke lapangan terbang. Stesen ini mempunyai lorong khas mengikut laluannya. Jika laluan bermula dengan 1 maka ia perlu masuk ke lorong 1, jika bermula 2 di lorong 2, laluan bermula 3 di lorong 3 dan 4. Bagi laluan bermula nombor 4 di lorong 5 iaitu lorong yang perlu saya tunggu. Di sini juga terdapat papan maklumat elektronik yang menunjukan kedudukan terkini bas terdekat dan masa dijangka akan sampai ke stesen ini. Setelah dalam 15 minit menunggu, mungkin kerana jalan sekitar bandar Georgetown ini agak sesak, bas laluan 401 pun sampai, kira-kira jam 2:15 petang. 





Pada masa ini saya mempunyai wang yang tepat untuk membayar tambang.



Jalan yang diambil lebih kurang dengan jalan yang diambil oleh bas laluan 401 ini semasa datang. Cuma keadaan lalu lintas agak kurang sesak. Saya agak kepenatan dan tertidur semasa dalam perjalanan. Nasib baik saya terbangun di Sungai Tiram, iaitu beberapa kilometer hendak sampai ke lapangan terbang. Setelah 45 minit dari KOMTAR, bas ini pun sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.





Masa masih awal lagi untuk saya mendaftar masuk, jadi saya bersiar-siar ke sekitar kawasan terminal lapangan terbang ini untuk mengambil beberapa gambar kenangan.





Di lapangan terbang ini mempunyai banyak kiosk daftar masuk mengikut syarikat penerbangan seperti MAS, AirAsia dan FireFly. Malindo Air masih belum ada, jadi perlu mendaftar masuk melalui web atau kaunter.



Balai berlepas lapangan ini juga lebih besar berbanding dahulu. Kaunter daftar masuk juga banyak dan di hadapan kaunter-kaunter ini terdapat kaunter penjualan tiket oleh syarikat -syarikat penerbangan yang beroperasi di sini.





Masa menunjukan pukul 3:35 petang, saya ke kaunter 48 untuk mendaftar masuk beg saya. Ketika saya hadir, tiada orang, jadi urusan berjalan dengan lancar dan pantas. Namun selepas saya beredar, orang mula ramai, nasib baik daftar masuk awal.

Perkhidmatan untuk membungkus beg juga ada dengan harga dari RM15.00 sahaja. Kaunter ini berhadapan dengan kaunter penjualan tiket MAS.





Saya berlegar-legar kira-kira setengah jam, dan kemudian saya masuk ke kawasan airside kerana di situ saya boleh berehat dan menunaikan solat kerana surau di situ lebih selesa.









Pintu pelepasan saya adalah di B7, iaitu di hujung sekali. Di hadapan pintu ini terdapat ruang permainan untuk anak-anak yang berupa seperti kapal terbang. Menarik.



Pada pukul 4:30 petang, kelihatan sebuah pesawat Boeing 737-900 bernombor pendaftaran 9M-LNH telah mendarat dan parkir di B7. Nampaknya inilah pesawat yang akan saya naiki nanti.



Akhirnya pada pukul 5:00 petang, pintu pelepasan B7 dibuka dan penumpang OD2105 sudah boleh menaiki pesawat. 




Tepat jam 5:25 petang, kapal terbang ini mula bergerak dan lima minit kemudian, berlepas di landasan meninggalkan Pulau Mutiara ini.







Sepanjang perjalanan, saya nampak pesawat ini melalui Selat Melaka. Di samping itu saya lihat jelas Pulau Ketam di Klang dan kemudian melalui ruang udara Port Dickson. Rumah api Tanjung Tuan amat jelas kelihatan.






Akhirnya pada jam 6:15 petang, penerbangan Malindo Air OD 2105 pun sampai di klia2 dengan selamatnya, alhamdulillah. Kapal terbang ini parkir di ruang K12.







Saya terus keluar dan terus ke ruang tuntutan bagasi untuk mengambil beg. Beg kami di hantar ke converyor nombor 3. Agak cepat  juga beg-beg penumpang sampai, kira-kira 5 minit sahaja menunggu.



Setelah mendapatkan beg, saya ke Texas Chicken di gateway@klia2 semula untuk membeli makan malam untuk keluarga saya. Bukan apa pada paginya sewaktu membeli sarapan, saya ternampak promosi yang mana akan dapat magnet peti sejuk khas Tahun Baru Cina daripada Coca Cola. Lagipun teringat semasa makan Texas Chicken di Bandung, agak kurang rasa, jadi ingin "membalas dendam" saya belilah di Malaysia ini yang mana lebih sedap.


Setelah itu saya segera ke mesin pembayaran parkir motorsikal dan hanya perlu bayar RM1.00 sahaja. Selepas itu segera ke tingkat 1 untuk ke skuter saya dan pada pukul 7:10 malam, bergeraklah saya menuju ke rumah.



Saya berhenti sebentar di hentian rehat dan rawat Seri Kembangan arah utara untuk bersolat maghrib. Usai solat saya kembali ke rumah. Sebelum sampai ke rumah, sempat juga saya mengisi minyak penuh skuter saya dengan RM11.25. Akhirnya pada jam 8:15 malam, sampai juga saya di rumah saya, alhamdulillah.




Itulah perkongsian yang tidak seberapa yang dapat saya kongsikan. Kembara ini pendek sahaja, tapi memberikan kepuasan kepada saya. Semoga apa yang dipaparkan dapat memberikan manfaat untuk kita semua. Semoga berjumpa lagi di lain masa, insya Allah.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • PreJourney
  • Itinerary; 
  • Part 1; or 
  • Part 2 (this part).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan