Isnin, 5 Januari 2015

Hari 1 Bahagian 2 (Sumatera Utara, Aceh & Riau, Indonesia - 20 hingga 25 Disember 2014) - Mengimbau Kegemilangan Kesultanan Deli & Langkat.

Bersambung dari Hari 1 Bahagian 1.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2 (this part); 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or  
  • Day 6.


20 Disember 2014 (Sabtu)

Usai solat Zohor, kami semua berjalan kaki menuju ke Istana Maimun, yang tidak begitu jauh dari situ, kira-kira 500 meter sahaja. Namun di perkarangan Masjid Raya al-Mashun, telah menanti ramai pengemis yang mencuba nasib mereka. Pesan orang Indonesia, jangan dibiasakan memberi sedekah ini, namun iakan dah jadi budaya orang Malaysia, memberi. Tapi jika kita memberikan seorang, maka yang lain akan mengejar kita agar diberikan juga kepada mereka. Jadi untuk kebaikan diri, diikutkan sahaja pesan beberapa orang Indonesia tersebut.



Sampai je ke Istana Maimun ini, di tempat letak kereta, sudah sampai anak Pak Darwis dengan jip Isuzunya. Namun ingatkan hendak meletak beg di dalam kereta tapi sebenarnya itu langkah berbahaya. Dirisaukan kereta akan dipecahkan dan beg-beg kami akan diambil (dirompak). Huhuhu... Di situ terdapat juga jualan cenderahati, namun agak mahal contohnya baju T dijual Rp50ribu (+- RM15) sehelai dan magnet peti ais atau rantai kunci sebanyak Rp100ribu (+- RM30) bagi 10 buah. Pak Nasir adalah membeli sedikit, dan saya tidak membelinya kerana berniat untuk membeli di Brastagi keesokan harinya.


Kami meneruskan lawatan kami dengan pergi ke pameran Meriam Puntung di perkarangan Istana Maimun. Terdapat seorang petugas dan meriam ini sebenarnya dibuatkan rumah. Untuk masuk perlu membayar Rp3000 (+- RM1.00) seorang walaupun dikatakan sumbangan ikhlas. Cerita meriam ini dikatakan jelmaan salah seorang kerabat Kerajaan Deli yang bernama Mambang Khayali, berubah menjadi meriam yang mana ia berterusan menembak semasa perang. Akibatnya, meriam tersebut panas dan terpecah dua di mana pangkalnya kekal di kawasan Istana Maimun (ketika itu belum dibina istana lagi) dan hujung satu lagi melayang agak jauh ke kecamatan (mukim) Tanah Karo.


Waktu lawatan Istana Maimun.

Lambang kebesaran Kerajaan Melayu Deli.

Seterusnya, kami melawat Istana Maimon pula. Istana ini dibina juga oleh Sultan Maimun ar-Rashin Perkasa Alamsyah iaitu Sultan Deli ke-9 tetapi lebih awal iaitu pada tahun 1888. Di istana ini masih merupakan istana yang aktif dimana Kesultanan Deli masih ada namun tidak mempunyai kuasa memerintah. Ia lebih kepada simbolik dan kesinambungan Melayu Deli. Di istana ini juga terdapat keluarga kerabat yang masih tinggal, yang mana kawasan yang mereka duduk ini tidek dibenarkan untuk melawat. Tiket masuk ke istana ini adalah Rp5000 (+- RM1.50) setiap orang.


Sultan Maimun ar-Rashin Perkasa Alamsyah (Sultan Deli ke-9)

Singgahsana Kerajaan Kesultanan Deli (tidak boleh diduduki).

Sultan Deli ke-10.

Sultan Deli ke-11.

Sultan Deli ke-13. 
Baginda merupakan seorang pegawai tentera Indonesia dan mangkat pada usia muda kira-kira 35 tahun.

Sultan Deli ke-14 iaitu yang terkini.

Di istana ini menyimpan banyak alat istiadat dan juga sejarah kegemilangan Kesultanan Deli. Untuk pengetahuan Sultan Dili yang terkini bergelar Sultan Mahmud Lamanjiji Perkasa Alamsyah, masih berusia 13 tahun ketika ini. Baginda dimasyhurkan ketika usia 4 tahun pada tahun 2005. Setiap tahun, baginda akan ke Istana Maimun untuk upacara mengadap oleh semua kaum kerabat. Ketika ini, baginda tinggal di Makassar bersama bonda baginda.

Di sini juga, kita boleh bergambar menjadi kerabat diraja Dili dengan menyewa baju dengan harga Rp10ribu (+- RM3). Kami tidak menyewanya, cukuplah bergambar di replika takhta seperti gambar di bawah.

Jika hendak mengetahui lanjut tentang Kesultanan Deli boleh baca di sini.


Bergambar di depan singgahsana.

Bergamber di depan tangga Istana Maimun.


Salahsilah Kesultanan Dili.


Seterusnya kami lalu sahaja di hadapan banglo orang Cina pertama di Medan, iaitu Tjong A Fie (dibaca Chong Ah Fi). Kami tidak masuk kerana ia seperti rumah baba nyonya di Melaka, lagipun bayaran masuk dikenakan. Juga kami tidak berhenti di Kesawan Square selepas itu, kerana kami merancang untuk ke Tanjung Pura untuk melihat tinggalan Kerajaan Kesultanan Langkat pula. Takut tidak sempat, kiranya mungkin kami akan singgah selepas ini (tidak singgah juga).

Bekas BangunanDewan Bandaraya Medan, yang kini menjadi sebuah hotel. Berdekatan dengan Lapangan Merdeka, Medan.


Kami singgah di Lapangan Merdeka yang menjadi tempat tumpuan utama warga Medan jika terdapat upacara atau majlis-majlis seperti sambutan Tahun Baru dan sebagainya. Di sekitarnya terdapat beberapa bangunan yang menunjukan bahawa di sini merupakan kawasan pentadbiran lama penjajah Belanda, kerana terdapat bangunan Dewan Bandaraya lama, Bangunan Pejabat Pos yang masih digunakan dan stesen keretapi Medan.

Di sini juga terdapat banyak restoran-restoran yang menjadi tempat warga Medan berehat. Kami merehatkan diri di sebuah restoran untuk minum petang sahaja. Cuma minum sahaja. Saya mencuba minuman limau kelapa (limau di sini bermaksud buah limau manis, jika yang masam, ia dipanggil jeruk), dan rasanya memang sedap, kenapa di Malaysia tidak buat minuman sebegini. Kami di sini dalam setengah jam sahaja.


Di Sumatera ini masih ada jambatan besi.

Kami seterusnya ke Tanjung Pura untuk tujuan seterusnya, kerana kami mendapat maklumatnya di Istana Maimun tadi. Di sini kami sedar kerana anak Pak Darwis agak lama hendak sampai mengambil kami tadi. Memang keadaan lalu lintas di Medan ini bagi saya agak kelam kabut. Sesaknya tidak boleh digambarkan. Jalan dua lorong boleh menjadi lima atau enam lorong. Semua kenderaan dari sekecil-kecil basikal dan beca hingga sebesar-besar lori penuh. Tapi ironiknya, tiada kemalangan berlaku. Hendak dijadikan cerita, perjalanan hanya 60 kilometer mengambil masa lebih tiga jam untuk sampai ke Tanjung Pura. Ini selepas tolak 15 minit masa membeli tiket bas kami ke Bandar Medan keesokan harinya di depoh/terminal bas Kurnia. Harga tiket bas ke Banda Aceh adalah sebanyak Rp200ribu (+- RM66) seorang sehala dengan dikhabarkan perjalanan mengambil masa 13 jam.



Akhirnya pada jam 4:30 petang, sampai juga kami ke Masjid Azizi, Tanjung Pura, Kabupaten Langkat, Sumatera Utara. Di sini terletaknya makam-makam kerabat-kerabat Kesultanan Langkat. Masjid ini dinamakan Masjid Azizi oleh Sultan Haji Musa yang merupakan Sultan Langkat ke-7.

Reka bentuk masjid ini mengingatkan saya kepada Masjid Zahir di bandaraya Alor Setar, Kedah. Rupanya, memang masjid ini menjadi inspirasi pereka bentuk Masjid Zahir. Jadi kami bersolat Asar di masjid ini.


Mimbar dan Mihrab Masjid Azizi.

Makam Sultan-sultan Langkat.


Perkuburan kerabat-kerabat dan juga Pahlawan Nasional Indonesia, Tengku Amir Hamzah.


Setelah usai solat, saya berjalan-jalan ke sekeliling masjid ini. Terdapat juga sebuah makam kerabat diraja Langkat di mana salah satunya merupakan makam Pahlawan Nasional Indonesia, Tengku Amir Hamzah. Tengku Amir Hamzah ini merupakan seorang budayawan yang mana beliau telah menulis banyak karya-karya. Malah terdapat sebuah gedung di sebelah masjid ini yang dinamakan Balai Pustaka Tengku Amir Hamzah. Namun beliau telah gugur semasa menentang penjajah Belanda (ada yang mengatakan beliau dibunuh oleh orang-orang Langkat sendiri). Semasa saya ke makam beliau, terdapat anak-anak remaja yang secara tiba-tiba kononnya membawa kami ke makam beliau. Selepas jumpa, dengan tidak segan silu meminta wang jajan atau upah. Saya buat tidak endah sahaja. Mungkin budaya mereka begitu. Tidak lama kemudian, saya melihat mereka merokok, baguslah saya tidak memberikan mereka wang, nanti dibazirkan ke aktiviti tidak berfaedah itu.

Juga terdapat di perkarangan masjid ini, makam veteran tentera Indonesia seperti yang ditunjukan di gambar di bawah ini.


Sayangnya, istana Kesultanan Langkat dan lain-lain simbol kerajaan Kesultanan Langkat telah tiada. Istana Kesultanan Langkat telah musnah terbakar semasa awal kemerdekaan Indonesia atas dasar revolusi. Alangkah ruginya. Bukannya mereka juga berjuang menentang penjajah juga. Sebab itulah kenapa Indonesia kerap dilanda musibah, kerana lupa perjanjian antara Malim Lebar Daun dengan Sang Sapurba (sila rujuk kitab sejarah Silatus Silatin).

Pekan Tanjung Pura.

Setelah selesai dengan lawatan kami, kami pulang melalui pekan Tanjung Pura. Hampir seluruh bangunan di pekan ini dicat dengan warna kuning dan sedikit hijau. Singgah sebentar kerana Pak Nasir hendak membeli CD lagu-lagu Melayu Deli, katanya.


Seterusnya kami pulang ke rumah Pak Darwis. Saya, Pak Nasir dan Azmi tertidur, mungkin kerana kami kepenatan. Kami sampai ke rumah Pak Darwis di Kampung Lalang yang berada di pinggir sebelah barat bandar Medan pada jam 7:00 malam. Di sini dapat dilihat bagaimana di sini mencari rezeki tidak kira apa cara sekali pun halal ataupun haram. Salah satunya, persimpangan jalan menuju ke rumah Pak Darwis dahulunya terdapat lampu isyarat, namun dimatikan malah dicabut oleh pihak tertentu. Bukan di situ malah terdapat beberapa tempat lain juga. Jadi untuk masuk ke jalan tersebut, akan terdapat seorang yang menjadi "polis trafik" jadian, dipercayai dibelakangi oleh kumpulan tertentu. Jadi setiap kali hendak keluar atau masuk ke jalan menuju rumah Pak Darwis, perlu memberikan "upah" sekurang-kurangnya Rp2000 kepada "polis trafik" jadian ini. Begitulah Indonesia.

Sebelum sampai ke rumah Pak Darwis, sempat juga saya dan Pak Nasir membeli pek kad SIM Telkom simPATI untuk internet dan telefon. Lagipun kami ingin mengejar untuk melihat perlawanan akhir pusingan kedua Piala AFF Suzuki antara Malaysia lawan Thailand, namun rupanya perlawanan itu tiada siarannya di saluran televisyen Indonesia. Keluarga Pak Darwis pun tidak melanggan saluran Fox Sport. Jadi kami hanya mendapat khabar dari Azmi sahaja yang dapat keputusannya dari dalam Facebooknya. Kami pun tidak dapat berinternet, kerana terdapat masalah aturan (setting) agaknya. Hendak ke kedai yang kami belinya, mungkin sudah tutup. Nak buat macam mana, nasib-nasib.


Sementara menunggu keputusan, kami pun berborak dengan ahli keluarga Pak Darwis. Pak Darwis memaklumkan bahawa dia merupakan pesara daripada Kementerian Ketenagakerhaan dan Transmigrasi Republik Indonesia, dan telah menetap di Medan sejak zaman belajar, kerana beliau belajar di Universitas Sumatera Utara. Beliau berasal dari Kerinchi, provinsi Jambi. Selepas berborak, kami pun makan malam bersama. Akhirnya dapat keputusannya, walaupun Malaysia menang 3-2 namun agregat tidak menyebelahinya, 3-4. Tidak mengapalah, asalkan ke perlawanan akhir pun sudah baik.

Kami pun tidur kerana kepenatan tidak lama kemudian.


Akan bersambung ke Hari 2.

Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2 (this part); 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or  
  • Day 6.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan