Ahad, 13 April 2014

Hari 3 (Batam, Indonesia - 07 hingga 09 Mac 2014) - Terbang Pulang ke Subang.

Sambungan dari Hari 2.

Jika mahu lihat: Hari 1.

If want to read in English: 





09 Mac 2014 (Ahad)

Saya tersedar pada jam 05:00 pagi. Selang 5 minit kemudian, kedengaran sayup-sayup suara azan. Terus saya menunaikan kewajipan solat Subuh di dalam hotel sahaja. Memandangkan penerbangan saya adalah pada pukul 11:10 pagi, maka masih banyak masa. Lagipun saya percaya, banyak premis-premis perniagaan masih tutup. Maka saya sambung melayan menonton televisyen. Sambil-sambil itu, melayari internet di hotel ini, memandang ia menawarkan WiFi percuma. Dapat saya ikuti Facebook dan WhatsApp saya, yang mana topik utama saya perhatikan adalah mengenai kehilangan MH370. Menonton TV pun saya, beritanya terutama TV berita menumpukan berita kehilangan MH370. Malah saya lihat, skop berita TV One dan MetroTV ini seolah-olah menjadi akhbar tabloid, mensensasikan cerita MH370, sehingga memaparkan kononnya rakaman kota hitamnya disiarkan (kemudian diketahui bahawa rakaman itu adalah rakaman kota hitam tragedi terhempasnya Adam Air tahun 2009 yang lepas). Harap media Malaysia tidak terikut-ikut dan lebih berdisiplin dalam skop beritanya. 



Memandangkan saya masih belum bersarapan, pada pukul 07:00 pagi, saya pun keluar memerhatikan sekitar hotel. Waima warong pun belum buka lagi. Nampak gaya berlaparlah saya.



Memandangkan perut saya mula ber"nyanyi", maka pukul 08:00 pagi, saya mengambil keputusan untuk mendaftar keluar. Mudah dan cepat sahaja urusannya. Terus saya berjalan keluar, secara automatik, ada seorang lelaki yang duduk di bawah pokok memanggil saya. Saya menggangukkan kepala saya dan terus dia berlari mengambil keretanya. Sebelum masuk ke dalam kereta "sapu"nya, saya menanyakan berapa tambangnya ke bandara (istilah Indonesia bagi lapangan terbang). Beliau berkata Rp80ribu (+- RM24.00). Dalam hati saya berkata agak mahal bagi kereta "sapu" untuk perjalanan hampir 20 km selama kira-kira setengah jam. Saya cuba tawar menawar, pelbagai alasan diberikan, namun pasal saya tidak sabar untuk ke lapangan terbang dan meninggalkan Batam yang kurang menarik ini (rasa tidak adil diluahkan, asalnya saya berniat untuk berjalan-jalan lebih banyak tempat, tapi hati saya seperti tidak selesa dengan karenah orang-orang di Batam ini).



Di dalam perjalanan, pemandu kereta ini mengagak saya ini datang dari Jakarta. Biar betul, lengkok bahasa saya memang cuba meniru lenggok bunyi orang Jakarta, tapi saya tidak sangka orang Indonesia sendiri yang sangka saya orang Jakarta. Sama ke? Tidak dinafikan, perbendaharaan Bahasa Indonesia ala Jakarta masih ada sedikit di dalam minda saya, tapi saya sendiri tidak sangka perkara itu berlaku. Bermakna, harga yang diberikan itu adalah harga orang Indonesia bukan harga orang Malaysia, huhuhu. Ngak sangkain gue. Lalu saya kata saya mahu pulang ke Kuala Lumpur. Terkejut betul dia. Terkejut ada makna ke?



Sengaja tidak mahu bertanyakan namanya kerana rasa tidak mahu terikat menjadi sahabat, kerana hati ini seperti ralat. Namun rancak juga kami berbual, dari isu MH370, ke jati diri orang Melayu kedua-dua negara, ke pemilihan umum (pilihanraya), ke kisah orang Cina Indonesia dan macam-macam lagi. Dia kata dia berasal dari Padang (bermankna dia orang Minang) dan sudah lebih 20 tahun di Batam. Memang jelas pun Batam sudah tiada identiti bandar Melayu. Semuanya ingin mencari sesuap nasi hasil kemajuan yang pesat di Batam ini. Saya sempat katakan, kalau di Malaysia, Minang ke, Jawa ke, Banjar ke, waima mualaf Cina dikira Melayu (bermakna Melayu di Malaysia adalah bangsa terbuka), bukan seperti istilah suku kaum atau etnik Melayu di Indonesia yang khusus untuk etnik Melayu di Riau (termasuk Kepulauan Riau) dan Jambi. Barulah dia tahu.



Asyik berborak, perjalanan selama lebih sedikit dari 40 minit tidak terasa walaupun dia bawa agak perlahan. Nasib baik saya keluar awal, kalau tidak mahu suruh dia bawa lebih laju dan rasa-rasanya kena caj lebih. Sampai di Bandara Internasional Hang Nadim Batam lebih kurang jam 09:00 pagi, saya serahkan nota Rp100ribu dan ucapan terima kasih kepada beliau, dan Rp20ribu dan sama-sama diberikan. 



Saya tidak terus mendaftar masuk, kerana ada lebih dua jam lagi penerbangan saya. Jadi saya berjalan-jalan sekitar bangunan terminal lapangan terbang ini. Lapangan terbang ini mengingatkan saya dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan (LTSI). Saiz antaranya lebih kurang sama, cuma lapangan terbang ini berbentuk tegak, berbanding LTSI yang berbentuk L. Satu lagi, ruangan umum lapangan terbang ini tidak tertutup tapi berbumbung (lebih kurang LCCT), bermakna tiada kemudahan pendingin hawa, termasuk papan kenyataan penerbangan seperti gambar di bawah ini. Pintu memisahkan ruang terbuka dengan pengudaraan terbuka dengan ruang tertutup dengan berhawa dingin adalah mulai ruangan daftar masuk hanya diterhadkan kepada pemegang tiket sahaja, dan di pintu ini ada pemeriksaan keselamatan oleh pihak keselamatan lapangan terbang. Selain dari itu, tidak dibenarkan masuk. Kalau sudah daftar masuk, untuk keluar balik, bermakna perlu masuk ke ruangan daftar masuk ini lagi untuk ke balai pelepasan dan melalui pemeriksaan keselamatan kembali. Lain betul sistem di sini. Kalau majoriti tempat saya pernah pergi, daftar masuk termasuk dalam ruangan umum sehingga kawasan pelepasan sahaja. Balai daftar masuk untuk penerbangan domestik dan antarabangsa adalah sama. Tempat orang kita ikutkan sahaja, bukan itu pengalaman yang ingin dicari.

Sebelum saya daftar masuk, lebih baik saya berjalan-jalan dahulu untuk kenal lapangan terbang ini. Ini kali pertama dan kemungkinan kali terakhir saya di sini, nanti ralat pula.  Kalau di Malaysia, ia lebih kelihatan seperti terminal bas ekspress berbanding lapangan terbang. Malah TBS dan Pudu Sentral lebih moden daripada lapangan terbang ini. Orang-orang di sini agak ramai pada pagi ini. Mungkin kerana pagi Ahad, ramai yang mahu kembali ke tempat asal. Terdapat banyak kemudahan di sini. Saya singgah dahulu kedai cenderahati, pasal saya tidak membeli sebarang cenderahati di Batam. Sempat saya beli magnet peti ais, walaupun hanya satu, kerana harganya agak mahal, Rp25ribu (+- RM7.50) bagi sebuah. Harga sebuah di Masjid Sultan di Singapura lebih murah... Membantutkan saya hendak membeli sehelai baju I  Love Batam, kerana harganya Rp50ribu (+- RM15 sehelai).

Seterusnya, kerana perut sudah berbunyi maka saya pun duduk di sebuah kedai nasi padang di sini. Saya memilih daging dendeng bolado (berlada) dan sayur nangka muda sebagai lauk bersama air Sastro Teh Botol sejuk. Lega saya. Walaupun ia terletak di kawasan lapangan terbang, harga makanan saya kesemuanya berharga Rp30ribu (+- RM9.00) sahaja. Alhamdulillah.


Selepas makan, masa menunjukkan pukul 09:50 pagi. Saya terus ke balai daftar masuk untuk melaksanakan proses daftar masuk. Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim, Batam (BTH) (istilah di dalam Bahasa Melayu Malaysia) tiada kemudahan untuk membuat daftar masuk secara online (web) atau melalui telefon pintar (mobile), jadi perlu membuat daftar masuk secara manual. Di sini saya puas mencari kaunter daftar masuk FireFly. Puas saya cari tidak jumpa, dari kiri ke kanan. Akhirnya jumpa juga, terletak di hujung paling kanan (jika kita dari pintu masuk balai daftar masuk). Mungkin kerana khidmat FireFly masih baru, kira-kira kurang enam bulan sahaja. Terus saya daftar masuk tanpa daftar masuk bagasi, memandangkan saya hanya bawa beg galas sahaja. Diserahkan pasport untuk pengesahan dan cetakan emel tempahan, namun kerani kaunter daftar masuk kata tidak perlu. Setelah selesai, saya diberikan pas pelepasan.


Selepas itu saya segera menuju ke balai pelepasan. Namun sebelum itu, kita perlu ke kaunter caj perkhidmatan penumpang (saya alih bahasakan mengikut Bahasa Melayu Malaysia, kalau dalam Bahasa Indonesia istilahnya adalah lain, iaitu pelayanan jasa penumpang pesawat udara), atau lebih selalu dikenali sebagai cukai lapangan terbang untuk membayarnya. Pas pelepasan perlu diberikan kepada kerani kaunter dan kita perlu memberi Rp100ribu (+- RM30.00) untuk penerbangan antarabangsa. Jika penerbangan domestik, cajnya hanya Rp30ribu sahaja (+-RM9.00). Caj ini dikenakan kepada semua penumpang tidak kira warganegara Indonesia dan bukan. Untuk membayar caj ini, perlu bayar dengan menggunakan rupiah dan bukan matawang lain seperti juga pengalaman saya di pelabuhan-pelabuhan di Indonesia. Untuk pengetahuan caj ini tidak kira di lapangan terbang atau pelabuhan maritim, ia hanya dibayar ketika mahu berlepas sahaja dan semasa ketibaan tidak perlu membayarnya.

Selepas dibayar, maka saya  mendapat sekeping pelekat (sticker) dan ia dilekatkan pada pas pelepasan saya. Selepas itu, saya menuju ke balai berlepas antarabangsa yang terletak di sebelah kiri eskalator. Eskalator ini adalah untuk ke tingkat atas yang mana ia membawa ke balai berlepas domestik.


Sebelum memasuki balai berlepas antarabangsa, saya perlu melalui kaunter imigresen untuk prosedur imigresen. Alhamdullillah, saya tidak hadapi masalah dan cop diberikan dalam pasport saya. Dapatlah saya cop pasport yang antara tercantik pernah dapat. Kedua-dua cop pasport masuk dan keluar Indonesia di Batam ini agak berbeza berbanding dengan cop di tempat lain seperti cop di Jeti Tanjung Balai Karimun.


Selepas itu, perlu menjalani imbasan beg dan badan sekali lagi, kali ini oleh pihak kastam pula. Dua kali imbas badan di lapangan terbang ini, hebat kastam, siap ada pengimbas badan lagi. Akhirnya, barulah sampai ke balai berlepas atau pintu berlepas. Nampaknya, hanya ada satu sahaja pintu pelepasan dan ia tiada kemudahan jambatan udara seperti gambar di bawah ini. Saya agak, ini kerana hanya baru sekarang lapangan terbang ini mengendalikan penerbangan antarabangsa dan pesawat tersebut hanya pesawat turboprop kecil pula tu iaitu ATR72. Saya lihat, hanya FireFly sahaja pengendali penerbangan antarabangsa di sini dan tidak lama lagi Malindo Air dengan pesawat ATR72nya juga akan ke sini. Nampak gaya, penerbangan domestik lebih untung dapat guna kemudahan jambatan udara.

Ruangan pintu berlepas agak biasa besarnya sebagai mana ruang pintu pelepasan Air Asia X di LCCT yang saya rasai semasa ke Shanghai pada bulan November 2013 yang lepas. Di sini, boleh kita dapat perhatikan aktiviti-aktiviti di kawasan landasan utama dan kawasan laluan teksi serta tempat parkir pesawat-pesawat ini dengan jelasnya. Saya dapat lihat pesawat Garuda Indonesia, CitylLink (anak syarikat Garuda), Lion Air dan lain-lain pesawat mendarat, berlepas dan bergerak di laluan teksi serta pesawat diparkirkan. Juga, kenderaan perkhidmatan lapangan terbang lalu lalang serta penumpang-penumpang pesawat kecil berjalan kaki dari dan menuju balai ketibaan.


Nampak saya penerbangan saya bakal tertanggung seketika kerana pada pukul 10:30 pagi, waktu sepatutnya pesawat FireFly dari Subang mendarat (berdasarkan maklumat di papan kenyataan ketibaan pesawat di balai umum lapangan terbang tadi) belum sampai lagi. Sepuluh minit kemudian baru saya perasan, pesawat berwarna oren putih mendapat di landasan utama. Nampak dilihat kemudian kapal terbang ini parkir agak jauh dari pintu berlepas dan penumpang-penumpang dari Subang keluar berjalan menuju ke balai ketibaan. Akhirnya lima belas minit kemudian, kami penumpang-penumpang FY3426 boleh bergerak menuju ke pesawat.


Apabila saya disapa oleh pramugari FireFly, hati saya gembira kerana mendapat layanan Malaysia (Malaysia Hospitality) yang mesra dan ikhlas. Malah tidak marah dan tergelak, apabila saya sempat mengambil gambar di bawah ini. Setelah semua penumpang mengambil tempat dan bersedia untuk berlepas, maka pada jam 11:25 pagi pesawat ini berlepas dengan lancarnya.


Saya mendapat tempat duduk di tepi tingkap. Dapat saya perhatikan keadaan muka bumi Batam, timur Singapura, Johor, Melaka,Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur. Ketika memasuki Selangor, keadaan udara agak kelam kerana jerebu melanda bahagian tengah Semenanjung Malaysia. Setelah sejam lima belas minit, pesawat FY3426 melalui ruang udara Kuala Selangor berpusing menuju ke Subang. Ketika ini saya menukar kad SIM iPhone5 saya kembali ke DiGi. Alhamdulillah, 13:50 (1:50 tengahari) waktu Malaysia setelah penerbangan sejam 25 minit, pesawat ATR72 FireFly ini selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS). Alhamdulillah, di saat peristiwa menimpa MH370 sibuk diperkatakan, syukur kepada Allah, perjalanan saya menggunakan pengangkutan udara selamat sampai.

Keluar dari pesawat, saya terus ke kaunter imigresen untuk pasport saya diimbas. Oleh kerana saya berada di tengah-tengah (kerana tempat duduk saya agak terhadapan di dalam pesawat, maka saya lewat keluar, kerana pesawat ATR72, pintu masuk dan keluarnya adalah di belakang pesawat), masa saya tidak meminta untuk pegawai imigresen itu untuk mengecop pasport saya. Setelah selesai urusan imigresen, saya terus ke surau kerana sudah masuk waktu dan saya tiada mendaftar bagasi tadi di Batam.

Surau di Terminal Subang Skypark (nama komersil bagi kompleks terminal penumpang LTSAAS) adalah di tingkat atas, apabila keluar dari pintu ketibaan, perlu belok ke kanan, dan mencari eskalator atau tangga kira-kira 30 meter sebelah kanan dan naik. Surau adalah sebelah kiri selepas tandas. Alhamdulillah, saya dapat laksanakan solat jamak qasar Zohor dan Asar, kerana saya masih di luar bermukiman saya, maka saya boleh melaksanakan rukhsah solat lagi.

Setelah selesai, saya sempat melihat dari tingkat atas, pesawat-pesawat termasuk pesawat saya naiki tadi parkir di ruangan parkir. Seterusnya saya terus ke jejantas untuk menyeberangi Jalan Subang - Sungai Buluh untuk ke perhentian bas bagi mengambil bas RapidKL laluan U81 atau U81 (W) untuk ke KL Sentral. Sambil saya berjalan, saya membuat tinjauan lapangan parkir untuk motorsikal. Cuma yang rasmi seakan tiada, tetapi boleh parkir di beberapa kawasan di dalam kawasan parkir kereta. Cuma harga bayaran saya belum tahu. Mungkin bayar, mungkin percuma.

Baru saya sedar, yang perhentiannya bukan di seberang jalan tetapi perlu berjalan kaki 200 meter ke hadapan, iaitu selepas pintu masuk ke ibu pejabat MAS & FireFly. Semasa berjalan, saya terlepas sebuah bas. Tetapi semasa saya hendak tiba di perhentian bas tersebut, saya pandang ke belakang dan sebuah bas U81 kelihatan hampir mahu tiba. Saya berlari dan menahan bas tersebut. Alhamdulillah, ia berhenti dan saya naik. Dengan tambang RM2.50 untuk ke KL Sentral (maaf tiketnya hilang sebelum sempat saya mengambil gambarnya atau mengimbasnya ke bentuk imej digital), maka saya pun dibawa ke KL Sentral.




Sepanjang jalan, tiada sebarang kesesakan lalu lintas, selang 20 minit, bas ini sampai juga di KL Sentral. Saya terus ke tempat parkir skuter saya di parkir motorsikal di Plaza Sentral, dan pada 15:15 (3:15 petang), saya tiba di rumah. Akhirnya tamat kembara saya dengan pelbagai mod pengangkutan saya. Selepas ini, insya Allah boleh ikuti percutian kembara bersama keluarga saya di pulau Borneo pula.

Semoga berjumpa lagi, insya Allah pada nukilan akan datang. Assalamualaikum.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Ingin melihat:



If want to read in English: 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan