Rabu, 26 Oktober 2016

Pra Kembara (Sydney, Australia - 26 hingga 31 Oktober 2016) - Pertama Kali Ke Benua Oceania.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey (this part);  
  • Itinerary;
  • Day -1;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5; or 
  • Travel Guide - Sydney.

Gambar Sydney, Australia
(sumber: https://www.captaincook.com.au/).

Pengenalan.

Pada 06 Mac 2016, pihak AirAsia telah membuat makluman kepada semua orang melalui laman Facebooknya, mereka akan membuat promosi yang biasa dibuat setiap tiga bulan sekali, iaitu promosi tempat duduk percuma, di mana hanya bayar cukai penerbangan sahaja. Promosi ini telah berlangsung selama seminggu iaitu dari 07 hingga 13 Mac 2016, juga termasuk pada 06 Mac 2016 khas untuk ahli-ahli AirAsia BIG. Tetapi saya tidak dapat mengikutinya kerana saya ketika itu sedang mengembara di Seoul, Korea Selatan.



Semasa saya di Seoul, sempat juga saya melihat harga-harga tambang AirAsia ke segenap tempat. Saya menyasarkan negara-negara yang belum saya jejaki seperti Australia, Bangladesh, Jepun, Maldives, Nepal, New Zealand dan Sri Lanka. Harga tambang ke Australia, Maldives dan Sri Lanka amat menarik hati saya. Harganya adalah paling murah (dalam promosi ini juga yang lain, destinasi penerbangan AirAsia X tidak menawarkan tempat duduk percuma) yang pernah saya lihat. Jadi akhirnya saya memilih untuk ke Sydney pada bulan Oktober 2016.

Banner promosi tempat duduk percuma pada 07 hingga 13 Mac 2016.

Australia, merupakan sebuah negara pulau di selatan bumi. Terletak di antara Lautan Hindi di barat dan Lautan Pasifik Selatan di timur, ia berkeluasan seluas 7.6 juta km2, ia merupakan negara enam terbesar di dunia dan jika pulau utama Australia jika tidak dikira sebagai benua, ia merupakan pulau terbesar di dunia. Namun penduduknya cuma 24.2 juta orang sahaja. Australia merupakan negara Komanwel dan merdeka daripada United Kingdom pada tahun 1901, namun sehingga kini masih mengekalkan Ketua Negara United Kingdom iaitu Ratu Elizabeth II sebagai Ketua Negara Australia dan di Australia, baginda diwakili oleh Gabenor Jeneral.

 
Peta: Australia.

Sydney, merupakan bandar terbesar di Australia. Ia terletak di tenggara negara Australia di dalam negeri New South Wales. Dengan keluasan seluas lebih sikit dari 12 000 km2, ia dihuni seramai 5 juta penduduk. Ia juga menjadi pusat ekonomi utama dan juga merupakan bandar kedua rasmi bagi Australia selepas ibu negara Australia, Canberra. 

 
Peta: Sydney, New South Wales, Australia.

Lalu saya membuat pertanyaan di dalam beberapa group Facebook yang berkaitan dengan pengembara, untuk mencari rakan-rakan sepengembara ke sana. Alhamdulilah, agak ramai juga, dan akhirnya yang sanggup memberi komitmen adalah lima orang iaitu mereka adalah abang ZulkiflyJeluwi, HusnulRoslinda dan Irda. Jadi saya menempah penerbangan ke Sydney pada malam 26 Oktober 2016 dan pulang ke Kuala Lumpur dari Sydney sebelah malam di mana akan tiba di klia2 pada awal pagi 31 Oktober 2016. Secara purata, setiap seorang membayar tambang sebanyak RM779.08 pergi balik.



Itinerari penerbangan ke Sydney yang telah ditempah.


Pada 12 April 2016, saya menempah penginapan kami di Sydney nanti melalui Hotels.com di The Geroge Street Hotel, Sydney, AustraliaKami memilih untuk menginap di dua buah bilik berempat. Saya memilih hostel ini kerana ia berada dekat dengan kawasan Central dan CBD iaitu kawasan utama di Sydney, mudah kami untuk pergi ke tempat-tempat tarikan utama. Harganya RM 2 362.40 untuk sepanjang penginapan kami, atau RM 337.50 bagi seorang (tiga malam) atau RM 112.50 setiap malam bagi seorang. Memang penginapan di Sydney agak mahal. 

Screenshot Wallet (iOS) tempahan penginapan 
melalui Hotels.com di The Geroge Street Hotel, Sydney.

Pada 02 Mei 2016, saya telah membeli International World Traveller Care Takaful dari eTiQa Takaful, di mana saya mengambil plan Platinum bagi individu untuk perjalanan 6 hingga 10 hari ke zon 3 iaitu seluruh dunia termasuk Australia tetapi tidak termasuk Amerika Syarikat dan Kanada, berharga RM99.50 sahaja (sebelum saya tolak komisen saya kerana perniagaan saya, HidayahWEALTH, merupakan ejen korporat bagi eTiQa Takaful). Ada pilihan lebih murah iaitu plan Emas yang berharga RM69.00 dan plan Perak berharga RM43.50, tetapi saya memilih plan Platinum pada kali ini kerana inginkan perlindungan yang komprehensif. 



Nota perlindungan takaful kembara yang diambil untuk perjalanan kali ini.

Jika anda atau kawan-kawan anda ingin mendapatkan takaful tersebut atau lain-lain takaful, boleh mesej saya melalui Facebook saya atau kaedah-kaedah lain. Ini bagi persediaan jika berlaku apa-apa diluar jangka, sekurang-kurangnya ada "kusyen". Sekurang-kurangnya kos perubatan (difahamkan kos perubatan di Australia berkali-kali ganda lebih mahal berbanding kos perubatan swasta di Malaysia) dan kos pengurusan jenazah (minta jauh tapi kan maut itu pasti) telah termasuk dalam perlindungan, jadi tidak perlu mengemis dengan orang lain kalau berlaku apa-apa yang tidak diingini dan di luar jangka. Risau juga selepas berlaku beberapa tragedi menimpa orang Malaysia di luar negara sejak kebelakangan ini.

Oleh kerana perjalanan ini merupakan perjalanan keluar negara, maka sudah tentu kita perlu menukarkan wang kita untuk perbelanjaan di sana. Australia menggunakan matawang Dollar Australia (singkatanya AUD atau AU$ atau dijangka di sana hanya menggunakan simbol $ sahaja). Jadi saya menukarnya beransur-ansur daripada bulan Septemberdan Oktober 2016. Kadar yang saya dapat adalah dari RM3.15 ke RM3.26 bagi setiap AU$1.00, jadi kadar purata adalah RM3.20 bagi setiap AU$1.00. Saya menukar dalam AU$535.00 dalam RM. Kebanyakan saya menukar di Ampang Park.


AU$5.00 = +-RM16.50

AU$10.00 = +-RM33.00

AU$20.00 = +-RM66.00

AU$50.00 = +-RM165.00

AU$100.00 = +-RM330.00

Pada 11 Oktober 2016 juga, saya telah menghantar e-mel makluman kehadiran kami di Australia kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra. Untuk pengetahuan, di negara-negara di dalam Pertubuhan Komanwel, perwakilan (duta) di kalangan negara ahli pertubuhan ini digelar Pensuruhjaya Tinggi dan pejabatnya dipanggil Suruhanjaya Tinggi. Pendaftaran melalui e-Konsular juga dilakukan pada masa yang sama.

Emel dihantar ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra 
untuk memaklumkan kehadiran kami.

Bagi memasuki Australia, sebenarnya pemegang pasport Malaysia tidak dikenakan visa sebenarnya namun perlu memohon kebenaran ETA (Electronic Travel Authority) Australia, sebagai mana beberapa negara lain (tidak semua negara layak menggunakan cara ini). Tetapi ini pun boleh dianggap seperti visa juga kerana jika tidak kena cara agak remeh juga, dan ada bayaran, jadi lebih kurang seperti memohon visa juga. Kita boleh memohon secara dalam talian (online) melalui laman web ETA tadi. Dahulunya boleh dimohon di Suruhanjaya Australia di Kuala Lumpur, tetapi oleh kerana cajnya lebih mahal dan keputusannya agak lama, ramai yang menggunakan cara dalam talian. Caj yang dikenakan adalah AU$20.00 (+- RM63.00)!

Namun kita juga boleh memohon di sebahagian agensi pelancongan yang mempunyai pakej ke Australia. Ini kerana mereka boleh memohon ETA ini secara percuma sahaja untuk pelanggan pakej mereka. Tetapi kita tidak semestinya melanggan pakej dari mereka, kerana ada sebilangan agensi ini membolehkan kita memohon ETA ini daripada mereka namun dengan bayaran. Cuma kena cari agensinya lah, kerana tidak semua buat perkhidmatan ini. Ada yang membuatnya secara purata RM30, ia lebih murah dari kita memohon sendiri di laman web ETA.

Pada 11 Oktober 2016, saya menghantar emel (di dalam mempunyai maklumat asas bagi permohonan ETA Australia ini) kepada eta.australia@yahoo.com, yang saya mendapat mereka membuat ETA Australia ini melalui sahabat-sahabat pengembara. Alhamdulillah mereka memproses dengan cepat dan pada petangnya, saya mendapat jawapannya. Bayaran diberikan melalui pindahan dana melalui Maybank (dalam talian) setelah permohonan berjaya. Bayaran hanya RM20/orang sahaja. Saya cetak emel balasan yang diperolehi yang terdapat maklumat ETA tersebut untuk rujukan dan persediaan sebarang kemungkinan.

Terdapat dua balasan kelulusan ETA Australia, seperti yang ditunjukan pada gambarajah di bawah. Kedua-duanya sama sahaja sebenarnya.

Contoh-contoh ETA Australia.

Pada 13 Oktober 2016, saya telah mendaftar masuk melalui aplikasi AirAsia di dalam iPhone untuk penerbangan pergi ke Sydney. Namun, oleh kerana untuk memasuki Australia memerlukan ETA, maka kami perlu juga ke kaunter untuk mendaftar masuk bagi pihak AirAsia memeriksa sama ada kami mempunyai ETA terlebih dahulu. Bagi penerbangan pulang, kami akan mendaftar masuk melalui kaunter di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kingsford Smith, Sydney, Australia (SYD) sahaja.

Pas pra-pelepasan bagi pendaftaran masuk melalui web.

Pada 13 Oktober 2016, saya mendapat surat di mana di dalamnya terdapat sijil dan kad Plan Takaful myAr-Rehlah daripada Takaful Malaysia Berhad. Baru saya teringat, ini adalah perlindungan yang dibayar untuk sekali dalam setahun bagi perjalanan ke luar negara. Sudah banyak kali saya menghantar permohonan ke luar negara, barulah kali ini, saya dilindungi perlindungan takaful. Sampai saya bosan menunggu. Akhirnya bekerja juga kakitangat yang berkaitan di Bahagian Sumber Manusia tempat saya bekerja ini. Agaknya selepas berlaku bencana terhadap salah seorang warga kerja kami di luar negara, dan tiada dilindungi, barulah mereka ini hendak buat kerja. Walaupun sudah ada perlindungan yang saya beli sebelum ini, tidak mengapalah.


Sijil Takaful myAr-Rehlah Takaful Malaysia.

Kad Takaful myAr-Rehlah Takaful Malaysia.

Oleh kerana pihak Jabatan Pertanian Australia menerusi Perkhidmatan Kurantin dan Pemeriksaan Australia, agak ketat dalam apa benda yang dibawa pengunjung ke Australia, kita perlu mengikut prosedur yang ditetapkan di mana kita perlu mengisytihar semua benda yang dibawa. Jika kita gagal maka kita boleh didenda AU$200.00 (+- RM630.00)! Jadi kita boleh rujuk prosedurnya di dalam laman web pentadbir Lapangan Terbang Sydney atau Jabatan Pertanian Australia. Perkara asas adalah jangan bawa barang makanan yang boleh tumbuh seperti biji benih, bijirin, rempah berbentuk biji (contohnya biji ketumbar, jadi serunding daging banyak mengandungi bahan ini) atau bahan mentah seperti daging atau bahan tenusu seperti susu atau keju atau produk yang ada telur di dalamnya terutamanya telur mentah. 

Berdasarkan pengalaman ramai pengembara-pengembara ke Australia, saya menyalin kembali semua isi kandungan di bungkusan makanan ke dalam satu senarai dan saya sertakan gambar. Jadi saya cuba elakan membawa barangan yang tiada isi kandungan ke sana. Nanti sia-sia sahaja, makanan kena buang, denda kena bayar. Jadi saya hanya membawa mee segera perisa Tomyam dan Asam Laksa serta minuman paket kecil (sachet) yang saya ambil setiap kali saya menginap di hotel sebelum ini. Jadi kalau nak dibuang pun tidak merasa ralat. Semua isi kandungan disiapkan awal.

Rasanya, sudah agak lengkap juga persediaan saya untuk perjalanan ke Sydney, Australia ini. Diharapkan agar perjalanan saya dan sahabat-sahabat sekembara saya ini akan berjalan lancar, dimudahkan urusan dan tiada kejadian yang tidak diingini terjadi. Semoga perjalanan ke negara ke-20 saya ini dapat memberikan makna dan kepuasan kepada kami semua, insya Allah.


Bersambung ke Hari -1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey (this part);  
  • Itinerary;
  • Day -1;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5; or 
  • Travel Guide - Sydney. 

Tiada ulasan: